Monday, 13 February 2012

Sejarah dan Strategi dakwah HAMAS



(Perkongsian Dr Muhammad Syehab - MP Gaza, di dalam bengkel Dewan Perwakilan Nasional, Pertubuhan IKRAM Malaysia, pada 11 Feb 2012).

Beliau memulakan penyampaian pagi ini dengan memuji Allah SWT. Beliau amat berbahagia berada di dalam majlis Pertubuhan IKRAM Malaysia. Seterusnya beliau menyampaikan salam dari Majlis Syura Gaza yang merupakan sebahagian dari juzu' Gerakan Islam


Gerakan ini (HAMAS) dibangunkan semula pada tahun 1967 (apabila Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis ditawan oleh Zionis Israel). Pada peringkat awal pendekatan mereka ialah membina masjid di segenap pekan dan desa. Masjid-masjid inilah yang menjadi pusat aktiviti bagi membangunkan ummah. Masjid ini menjadi markas untuk membangun kader (penyokong) gerakan Islam. Seterusnya ditekankan tentang membangunkan tsaqafah (penguasaan ilmu) dengan memperbanyak dan menyebarkan bahan-bahan bacaan yang sejahtera. Budaya tsaqafah ini begitu subur sehingga setiap pendukong mempunyai maktabah (library) peribadi di rumah.

Langkah seterusnya ialah membangun institusi khairiah (kebajikan), persatuan dan kelab-kelab kesenian, kelab sukan, halaqah-halaqah (study circle), kelab-kelab untuk kanak-kanak dan remaja, menyantuni golongan miskin dan terpinggir dan menjaga kebajikan mereka. Marhalah (fasa) ini berlangsung selama 13 tahun. 

Meskipun mereka giat membangunkan institusi dan bergelumang dengan masyarakat namun wasilah tarbawi (pendidikan dalaman (jiwa) sentiasa diberi penekanan yang utama. Aktiviti pembinaan dalaman yang paling penting ialah menghafal al- Quran dan penghayatan ruh al Quran melalui program-program nadwah, mukhayyam, daurah (pelbagai bentuk majlis ilmu) . Melalui wasilah (pendekatan) ini, kekuatan saf ditingkatkan. Di sana berlaku peningkatan, pemeringkatan ahli dan penapisan keahlian bagi mengukuhkan institusi dalaman (sebagai tunggak kepada semua institusi/lembaga yang dijelmakan di dalam masyarakat)


Fasa membina (1967 - 1982) ini menyebabkan golongan sekular dan musuh tidak menyenangi kehadiran gerakan Islam. Namun demikian gerakan ini terus berkembang dan sentiasa muda kerana penyertaan generasi muda yang berterusan kerana tertarek dengan pendekatan yang dibawa. Secara bertahap-tahap gerakan Islam mengambil pendekatan muwajihah (berdepan - konfrontasional) dengan musuh Zionis. Akhirnya keputusan dibuat untuk melakukan jihad ashkari (jihad dengan ketenteraan/bersenjata). Pada tahun 1984 berlakulah siri-siri tangkapan secara besar-besaran ke atas pimpinan Gerakan Islam. Walaubagaimanapun sokongan yang meluas di seluruh negeri kerana mantapnya institusi dalaman dan kemunculan institusi kemasyarakatan yang bercambah dan terbina sekian lama, siri-siri tangkapan ini tidak memperlahankan dan melemahkan gerakan Islam, bahkan ia semakin berkembang dengan kemunculan cawangan-cawangan di pelbagai cabang daerah. Syeikh Ahmad Yaasin dan kepimpinan utama kesemuanya dipenjara oleh Israel dan dikenakan penyeksaan yang jauh lebih dahsyat dari apa yang dikenakan ke atas tahanan PLO. Pada tahap ini lampu hijau (kebenaran) diberikan untuk gerakan Islam memanfaatkan pelbagai saluran dan peluang untuk meneruskan agenda penentangan ke atas Israel. (Apabila intifadah (kebangkitan - resistance) di istiharkan, Syeikh ahmad Yasin mengumumkan kemunculan gerakan Islam di Palestin dengan nama HAMAS (Harakatul Muqawwamah wal Islamiyah)

Fasa berikutnya HAMAS membentuk sayap ketenteraannya (Kataib Aqsa - Briged al-Qassam) dan di antara modus operandinya ialah 'amaliah ishtihadiyah' (melakukan serangan berani yang berakhir dgn kematian) untuk memusnahkan dan meletupkan kepentingan-kepentingan Israel.

Pendekatan ini juga ditiru oleh PLO yang juga menubuhkan unit Briged al Aqsa dengan modus operandi yang sama. Walaubagaimanapun PLO berada pada tahap yang rendah berbanding HAMAS. Apabila HAMAS kedepan untuk memimpin umat mereka mempunyai kelebihan baik dari sudut kemantapan organisasi, persediaan jihad fizikal dan juga kerohanian (pemantapan akidah melalui pelbagai program pemantapan syaksiah dan tsaqafah - ilmu). Persenjataan HAMAS berkembang dari senjata yang 'crude' (asas) kepada persenjataan moden termasuk penggunaan roket.

Kekemasan organisasi HAMAS terus mendapat kepercayaan masyarakat meluas. Usaha-usaha HAMAS yang unik, cemerlang dan kreatif serta berterusan terus membina kepercayaan orang ramai. Keadaan ini menyebabkan penduduk berbondong-bondong menyertai program-program HAMAS. Sambutan yang hangat ini menjadi bebanan (cabaran) baru pd HAMAS. Kepercayaan masyarakat perlu dipelihara sedang mereka tidak mempunyai kapasiti yang cukup untuk menyantuni jumlah pengikut yang ramai. Untuk menguruskan keadaan ini maka HAMAS telah mengujudkan halaqah-halaqah umum berpusat di masjid untuk mendidik kelompok yang lebih besar. Pendekatan ini diguna pakai untuk mengelak dari wujudnya perasaan kekosongan di kalangan ahli sehingga mereka mencari wadah (kelompok) yang lain bagi memenuhi kedahagaan khalayak untuk menyumbang ke arah perjuangan.

Situasi ini melahirkan satu keadaan yang tidak dapat dielakkan. Apabila sokongan bertambah maka qualiti pembinaan menurun. Wujud satu keadaan di mana ada anggota yang menguruskan sehingga 5 halaqah (majlis ilmu). Dengan mengadakan halaqah umum di masjid, maka usaha tarbiyah (pendidikan) dalam diterapkan kepada kumpulan yang lebih besar. Semestinya kesannya tidak sama ketika bilangan anggota masih sedikit. Bak kata Syeikh Dr muhammad Syehab seorang ayah yang mendidik 12 orang anak tidak mungkin sama dengan seorang ayah yang mendidik 5 orang anak.


Perjuangan HAMAS yang melalui marhalah-marhalah dakwah Ikhwan menjadikan umat mencintai harakah ini. Ciri-ciri spt tadhiyah (jiwa pengorbanan yang tinggi), ikhlas, sabar, khidmat (mengambil berat kebajikan masyarakat dan menyantuni mereka) adalah unsur-unsur tarekan. Fikrah (pemikiran) Ikhwan telah memasuki setiap rumah di Palestin. Bahkan isteri dan anak-anak mereka (termasuk saingan Fatah) menyokong fikrah Ikhwan sibghah (celupan) HAMAS. Inilah kejayaan yang tidak dapat di atasi oleh musuh-musuh mereka termasuk Amerika. Mereka menyangka HAMAS akan ditewaskan oleh PLO. Tetapi mereka terperanjat (kini PLO tidak disebut-sebut lagi - sedangkan PLO adalah sinonim dengan perjuangan Palestin sejak tahun-tahun 60'an, 70'an dan awal 80'an - HMN).

Setiap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak mendekati HAMAS. Syeikh Dr Muhammad Syehab mengatakan "rakyat Palestin tidak akan meninggalkan kami walaupun mereka melakukan pelbagai siri tekanan termasuk tangkapan dan penindasan (baik oleh pihak musuh mahupun FATAH). Setiap kali kami melalui siri-siri tekanan ini, HAMAS akan keluar dengan kekuatan yang lebih besar lagi."

Sekian, semuga nota-nota rengkas perkongsian ini memberi manfaat kepada rakan-rakan FB yang mengikutinya - menganalisis isu HAMAS-FATAH ini tidak akan sama dengan mendengarnya langsung dari mereka yang langsung berada di medan. So we all had the chance to hear it from 'the horses' mouth'

Alhamdulillahi Rabil Alamin.
(Prof madya Dr Hafidzi Mohd Noor).
# Di ambil dari FB Aqsa Syarif.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...