Thursday 16 February 2012

DJ Razak meninggal dunia akibat kemalangan


Assalamualaikum,
Innalillahi-Wa-Innailaihi Rojiun,
"Semoga Roh almarhum DJ Abdul Razak bersemadi dengan teang dan ditempatkan Allah SWT bersama para solihin."
Kami warga dan suakrelawan Aqsa Syarif terkejut dan sedih di atas pemergian Dj Abdul Razak yang kami kasihi. Beliau adalah seorang yang sangat baik dan segala usahanya di bidang penyiaran khususnya di IKIM.fm telah banyak membantu orang ramai mendekatkan diri kepada Islam dan perjuangan kemanusiaan khususnya perjuangan Palestin. Saya dan rakan-rakan Aqsa Syarif pernah bersama beliau bersiaran di IKIM.fm khususnya dalam pra-misi Aqsa2Gaza2 (A2G2). Beliau sesungguhnya seorang DJ yang berdidikasi dan berusaha sedaya upaya memberikan kerjasama yang terbaik bagi tercapainya maklumat misi A2G2.
Pemergianmu tidak menghentikan misi murnimu, akan kami teruskan perjuangan membawa obor kebenaran.

Mohd Zin Kandar (Aqsa Syarif).
Allahyarham DJ Razak
KUALA LUMPUR – Penyampai terkenal Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia IKIMfm, Abdul Razak Arbain meninggal dunia pagi tadi apabila motosikal yang dinaikinya terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah lagi motosikal. Kemalangan tersebut berlaku di Bukit Jalil dan Allahyarham meninggal dunia pada usia 46 tahun
Berita yang dipetik dari status facebook Ikim.fm mengatakan, memang menjadi rutin Allahyarham untuk menghantar anaknya ke sekolah setiap pagi dengan motosikalnya.
Allahyarham yang merupakan juruhebah sambilan di IKIMfm telah berkhidmat sejak 3 Julai 2006. Sebelum berkhidmat di IKIMfm, beliau merupakan anggota tentera dan pernah ditempatkan di beberapa kem tentera seperti di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Di-Raja, Kem Rasah, Kem Wira Waja Janda Baik dan lain-lain. Beliau juga pernah bertugas sebagai juruhebah Radio Kementah (Mindef) di Cawangan Perhubungan Awam (PR).
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai DJ Razak cukup disenangi peminat kerana begitu mesra melayan setiap panggilan dan permintaan pendengar. Beliau seorang yang tidak lokek senyum dan amat mesra dengan setiap orang ditemui. Dalam kalangan rakan sekerja, beliau merupakan rakan yang suka menolong dan membantu orang lain, walaupun ada ketikanya menyusahkan diri beliau sendiri. Perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Radio IKIMfm, Encik Nik Roskiman Abdul Samad, yang menyifatkan Allahyarham sebagai antara rakan sekerja terbaik yang sentiasa mudah mengikut arahan.
Allahyarham juga sentiasa ikut serta turun padang bersama para penyampai IKIMfm yang lain. Yang terbaharu dan terakhir ialah apabila beliau bersama dalam program “Bonanza Amal Hope 2 Walk” di Muzium Negara, program anjuran Islamic Aid Malaysia dan IKIMfm dalam mencari dana membantu adik Annur yang mengidap Celebral Palsy.
Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar untuk IKIMfm dan bukan sahaja ditangisi oleh rakan sekerja tetapi oleh ribuan pendengar setia IKIMfm dan peminat beliau yang sentiasa ternanti-nanti kemunculan beliau di ruang udara.

Beliau yang dilahirkan pada 13 Mac 1966 meninggalkan seorang balu, Rosnani binti Haji Dali dan tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki.



Gambar-gambar kenangan ketika sukarelawan A2G2 berada di konti IKIM.fm bersama DJ Abdul Razak, tahun lalu (Ogos 2011)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...