Renungan tajam seorang pejuang abad ini
Memperingati tokoh mangsa kekejaman Israel
Sheikh Ahmed Yassin atau nama sebenarnya Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin adalah nama yang cukup besar dalam perjuangan jihad di jalan Allah. Terutama mempertahankan Palestin - bumi suci ketiga umat Islam. Beliau umpama pahlawan Islam silam.
Moga nama besar itu menikmati apa yang dijanjikan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati; bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)
Sheikh Ahmad Yassin syahid pada 22 Mac 2004, tarikh yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa juga terutama rakyat Palestin.
Beliau adalah mangsa pembunuhan paling keji apabila ditembak dengan tiga bedilan roket dari helikopter Apache tentera Israel.
Peristiwa berdarah itu berlaku pada subuh hening sejurus Syeikh Ahmed Yassin keluar dari masjid setelah menunaikan solat Subuh.
Tindakan Israel itu memang cukup kejam kerana pemimpin Palestin itu hanya seorang tua yang lumpuh dan lemah. Pergerakannya hanya menggunakan kerusi roda selain mengalami pelbagai lagi keuzuran. Namun, pada Israel beliau dilihat sebagai ancaman kepada rejim zionis itu dan perlu dihapuskan dengan apa cara sekalipun.
Mengenang kembali peristiwa pembunuhan terkutuk itu, pasti ada yang mengalir air mata. Bagaimanapun, siapakah yang lebih mengalirkan air matanya setiap kali nama tokoh pejuang suci Islam ini disebut-sebut?
Sudah tentu mereka yang menyimpan kenangan sama-sama berjuang dengan Sheikh Ahmed Yassin.
Salah seorang daripada mereka ialah Ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Perundangan Palestin (PLC) - bertindak sebagai Pihak Berkuasa Palestin yang mempunyai 132 ahli yang dipilih dari Tebing Barat dan Gaza - Dr. Mohammed Shihab, 55.
Ketika ditemui Mega dalam kunjungannya ke Malaysia, baru-baru ini, Kelihatan wajah yang sayu apabila Mohammed diajukan mengenai hubungan dengan Sheikh Ahmed Yassin - pemimpin yang pengaruhnya sangat kuat terhadap seluruh umat Islam sehingga kini.
Dr. Mohammed adalah antara yang paling awal direkrut dalam satu gerakan jihad pertama, iaitu Hamas yang ditubuhkan oleh Sheikh Ahmed Yassin di Palestin untuk menentang rejim Israel.
"Saya dan allahyarham Sheikh (Ahmed Yassin) sama-sama berjuang. Cuma sudah rezeki dan takdir Allah, almarhum lebih dahulu masuk ke syurga Allah," ujarnya.
Ini membuktikan Mohammed bukan calang-calang tokoh politik. Beliau sungguh bertuah kerana mempunyai kenangan yang hidup dan berjuang bersama-sama Sheikh Ahmed Yassin.
Dr. Mohammed berada di ibu negara sempena Festival Filem Palestin Kuala Lumpur (KLPFF) 2012 selama tiga hari yang berakhir pada 6 Februari lalu.
Festival itu telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mohammed yang berasal dari Bandar Gaza, Palestin ditemani dua lagi rakyat Gaza, iaitu Dr. Mahmoud Mohamad Alhirthani dan Dr. Fayik An Naouk yang kedua-duanya merupakan pensyarah di Universiti Al Aqsa, Gaza.
Dr. Mahmoud juga adalah Naib Pengerusi Persatuan Islam Jabalia Palestin bertindak sebagai penterjemah sepanjang mereka berada di Malaysia.
Menurutnya, Allah sahaja yang tahu azabnya tekanan perasaan yang mereka alami dalam hidup bagai di neraka dunia akibat 1,001 perbuatan kejam rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
"Tetapi semua tekanan dan air mata yang berlinang dengan sendirinya akan terhapus apabila kita berada dekat dengan almarhum Sheikh.
"Duduk bersama beliau dan mendengar nasihat serta pujukan beliau bagaikan seorang bapa yang memujuk anak-anaknya yang dalam kesedihan itu," katanya.
Begitulah pentingnya peranan seorang pemimpin, apatah lagi seorang ulama, guru, seorang ayah seperti Sheikh Ahmed Yassin.
Sekalipun hanya berada dekat dengannya mampu membuatkan orang di sekeliling rasa tenteram dan selamat.
Namun mengimbas kembali sejarah perjuangan para pejuang muda Hamas itu, Mohammed berkata, sekembalinya dari Mesir setelah tamat pengajian dalam bidang farmasi, beliau terus menganggotai Gerakan Islam (Hamas).
"Bukan sahaja saya, malah ramai lagi yang pulang belajar dari Mesir, England dan lain-lain negara di dunia setelah bergelar doktor perubatan, pensyarah, peguam dan lain-lain jawatan terus menganggotai Hamas dengan Sheikh Ahmed Yassin sebagai mentor kami.
"Tugas utama kami ketika itu mengumpul senjata sebanyak mungkin bagi memperkuatkan lagi gerakan menentang Israel," katanya.
Dilatih mengguna senjata
Walaupun serba kekurangan termasuk kesukaran mendapat bekalan senjata api, ia tidak melemahkan semangat juang para anggota Hamas.
Berbekalkan senjata yang ada, mereka giat berlatih dan mempelajari taktik-taktik peperangan melalui bekas anggota tentera Palestin yang pernah menganggotai gerakan pembebasan Palestin sebelum ini.
Sehinggalah ketika berlakunya detik dan tarikh hitam yang meragut nyawa pemimpin kesayangan, Sheikh Ahmed Yassin, Dr. Mohammed tidak berada di tempat kejadian.
Ketika itu, beliau berada di rumah. Berita itu diterima dengan hati yang remuk dan kesedihan yang tidak boleh diungkap melalui kata-kata.
Pemergian Allahyarham amat dirasai kerana beliau sangat akrab malah hubungan silaturrahim itu terjalin sebelum terbentuknya Hamas.
Sehinggakan Sheikh Ahmad Yassin ditahan dan dihukum penjara selama 13 tahun oleh Israel, Dr. Mohammed adalah satu-satunya individu yang mendapat kepercayaan sepasukan peguam untuk bertemu dan berbincang dengan Sheikh Ahmad Yassin di penjara.
"Para peguam meminta saya memujuk Sheikh Ahmed Yassin supaya bersetuju dengan usaha-usaha untuk membebaskan beliau daripada meringkuk dalam penjara.
"Beliau sudah tua dan dalam keadaan yang sangat lemah dan uzur. Maka adalah sangat zalim untuk orang yang dalam keadaan seperti ini dipenjara lalu pihak peguam merancang menjadikan keuzuran Sheikh Ahmed Yassin untuk layak menjalani rawatan dan berubat di luar negara.
"Mereka hendak memindahkan Sheikh ke mana-mana negara luar agar beliau tidak perlu ditahan dan dipenjara," katanya.
Lalu Dr. Mohammed menemui Sheikh Ahmed Yassin dipenjara yang akhirnya menyaksikan beliau keluar dari penjara itu dengan muka yang kecewa dan hampa.
"Sheikh menolak bulat-bulat cadangan pihak peguam itu. Beliau enggan keluar dari penjara walau apa pun yang bakal terjadi dan saya sememangnya gagal walaupun puas memujuknya.
"Saya katakan beliau masih boleh memimpin para pengikutnya walaupun berada di luar negara sebagaimana kebanyakan para pemimpin dan pejuang Palestin sebelum ini," katanya.
Sheikh Ahmed Yassin dengan tegas memberitahu beliau tidak akan sesekali meninggalkan Palestin, apatah lagi meninggalkan orang yang dipimpinnya.
"Bukan namanya seorang pemimpin yang sanggup meninggalkan rakyatnya ketika dirinya sangat diperlukan dan walaupun dipenjara namun saya tetap ingin berada bersama-sama dengan kamu semua di sini, di tanah air kita ini!
"Tidak akan saya tinggalkan kamu sekalipun kita sudah terpisah jasad dan nyawa," katanya.
Demikianlah antara kata-kata yang tegas diungkapkan oleh Sheikh Ahmed Yassin kepada Mohammed.
al-Quran Braille berkomputer
KIRA-kira 10 tahun lalu, beliau yang ketika itu merupakan Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, menerima sepucuk surat bertulisan Braille daripada pengirim yang mendakwa dirinya seorang cacat penglihatan kekal yang berasal dari Gaza, Palestin.
“Saya tidak pasti sama ada dari Gaza atau Tebing Barat, tetapi pemuda ini menulis surat kepada saya merayu supaya pihak kami dapat memberi sumbangan al-Quran versi Braille kerana beliau sangat memerlukannya,” kata Datuk Mah Hassan Omar.
Mah Hassan yang kini Presiden Persatuan Braille Malaysia mengakui amat terkejut dan terharu dengan permintaan yang datang dari jauh itu.
“Mungkin beliau menulis surat kepada saya atas kapasiti saya ketika itu juga merupakan wakil negara ke Pertubuhan World Blind Union dan pemuda itu merupakan antara mangsa kekejaman Israel yang menyebabkan matanya buta kekal,” kata Mah Hassan.
Malangnya ketika itu, tidak ada mana-mana pihak termasuk persatuannya yang mampu dan terlibat dalam pengeluaran mushaf al-Quran Braille.
Namun permintaan pemuda Palestin itu sebenarnya menjadi titik tolak yang membakar dan meniupkan semangat kepada Mah Hassan untuk mula mengusahakan penerbitan dan pengeluaran mushaf al-Quran Braille secara komersial.
Matlamat utamanya membantu golongan cacat penglihatan seperti pemuda Palestin tersebut.
“Bukan tidak ada al-Quran diterbitkan secara Braille ketika itu tetapi penerbitannya adalah secara manual dan sangat terhad.
“Perlu disalin satu persatu dan ia akan memakan masa sehingga setahun lamanya untuk siap lengkap 30 juzuk,” tambah beliau.
Sehinggalah baru-baru ini sahaja, permintaan pemuda buta dari Palestin itu akhirnya dapat dipenuhi.
Persatuan Braille Malaysia dengan kerjasama Viva Palestina Malaysia (VPM) akhirnya berjaya menyumbang empat naskhah al-Quran versi Braille untuk dibawa ke Gaza, Palestin.
Setiap naskhah bernilai RM240 dan ia disumbangkan kepada Persatuan Islam Jabaliya, Gaza ketika wakil-wakil persatuan penduduk Gaza itu berada di Malaysia, baru-baru ini.
Sumbangan diterima oleh Ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Perundangan Palestin, Dr. Mohammed Shihab. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Persatuan Islam Jabaliya, Dr. Mahmoud Muhammad Alhirthani dan Pensyarah di Universiti Al Aqsa Gaza, Prof. Fayek An Nouk.
Suasana bertukar pilu apabila melihatkan wakil-wakil penduduk Gaza itu sangat gembira dan tidak putus-putus mengucapkan syukur dan bertakbir memuji Allah atas sumbangan yang sangat besar maknanya ini.
Menurut Dr. Mohammed Shihab, sumbangan al-Quran Braille itu umpama mereka mendapat segunung intan.
Katanya, set al-Quran itu akan digunakan sepenuhnya oleh penduduk Palestin terutama mereka yang mengikuti pengajian di Darul Al Quran Al Kareem Wa Sunnah yang mempunyai cawangan di 13 lokasi di seluruh Palestin.
“Terdapat lebih 1,000 pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mengikuti pengajian di institusi ini.
“Sebahagian daripada mereka adalah cacat penglihatan yang rata-ratanya akibat kekejaman Israel yang menggunakan senjata kimia beracun,” katanya.
Institusi itu kini diterajui oleh seorang tokoh ulama terkenal mempunyai bacaan al-Quran terbaik, Sheikh Dr. Abdul Rahman Jamal.
Ia adalah Darul Quran utama di Palestin bagi melahirkan mereka yang tidak sahaja hafiz al-Quran tetapi para pejuang yang akan membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.
“Baru-baru ini salah seorang pelajar kami, seawal usia 7 tahun, Usama Abu Wardah berjaya memukau para hadirin dalam satu majlis ujian tahfiz al-Quran di Khartoum, Sudan.
“Beliau bukan setakat hafiz 30 juzuk al-Quran malah mampu melepasi pelbagai ujian tahfiz dan bacaannya diakui baik dan tepat,” jelas Mohammed.
Mendengarkan alunan bacaan surah al-Fatihah dan sedikit daripada surah al-Baqarah oleh Mah Hassan sangat menyedarkan betapa pentingnya al-Quran versi Braille ini kepada golongan cacat penglihatan.
Walaupun mereka dikatakan mampu menghafaz apa juga terutamanya ayat-ayat al-Quran dengan lebih baik dan pantas berbanding mereka yang normal namun versi Braille ini tetap penting buat yang cacat penglihatan.
Pertama, kata Mah Hassan, bukan semua yang cacat penglihatan mampu menghafaz melalui teknik pendengaran, kemampuan untuk menghafaz dengan baik ini sebenarnya, berbeza-beza bagi tiap seseorang itu.
“Keduanya, versi Braille adalah sangat penting bagi menjaga mutu dan ketepatan bacaan terutamanya dari aspek tajwid dan makhraj huruf.
“Sentuhan hujung jari itu pula menjadikan mereka lebih dekat dengan al-Quran untuk mereka mudah merujuk kembali berbanding sekadar mendengar berulang kali,” katanya.
Sejak diciptakan al-Quran Braille yang boleh disimpan dalam data komputer, ini membolehkan mushaf ini diterbitkan secara ulang cetak.
Menurut Mah Hassan, dalam tempoh lapan jam keseluruhan naskhah al-Quran itu boleh dicetak tetapi kosnya agak tinggi.
Ini kerana ia melibatkan kualiti kertas yang bermutu tinggi, mesin cetak Braille yang perlu diimport, kualiti penjilidan khas untuk al-Quran Braille di samping perlu mendapatkan semakan dan pengesahan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Bagi meringankan bebanan kepada golongan cacat penglihatan memiliki al-Quran Braille ini, umat Islam diharap memberi sumbangan kepada Persatuan Braille Malaysia bagi membolehkan lebih banyak mushaf-mushaf al-Quran versi Braille ini dapat diterbitkan.
Mah Hassan berkata, pihaknya sentiasa menerima permintaan dari individu, persatuan-persatuan dan sekolah-sekolah pendidikan cacat penglihatan untuk memiliki al-Quran Braille tetapi kebanyakan mereka tidak mampu untuk membelinya.
“Jadi saya sangat berharap masyarakat Islam Malaysia dapat menyumbang bagi membantu golongan cacat penglihatan ini memperolehi al-Quran Braille,” katanya.
No comments:
Post a Comment