STANDPOINT
Berikut adalah Penjelasan Aqsa Syarif terhadap ‘Penyelesaian 2 negara’ (Two-State Solution) yang lestari.
Bagi pengamat isu Palestin, seringkali penyelesaian dua Negara diketengahkan sebagai jalan keluar kepada konflik di antara Palestin dan negara haram Israel. Apakah asas kepada penyelesaian 2 negara ini?
Fakta-fakta sejarah yang berkaitan perlu diketahui untuk memahami tuntutan beberapa pihak dalam mengusulkan penyelesaian tersebut. Ia bermula pada tahun 1947 apabila PBB meluluskan Resolusi 181 yang membahagikan negara mandat Palestin (Mandated Palestine di bawah pentadbiran British) kepada wilayah Arab sebanyak 45% dan wilayah Yahudi sebanyak 55%. Pembahagian ini diusulkan oleh UNSCOP – Jawatankuasa Khas PBB untuk Palestin di bawah Pelan Pemisahan (partition plan). Sebagaimana yang dijangka umat Arab menolak ketetapan ini dan mencetuskan perang Arab-Israel yang pertama sebaik sahaja negara haram Israel diistiharkan pada 15 Mei 1948 berdasarkan Resolusi 181. Perang ini berkesudahan dengan kemenangan di pihak Israel yang menduduki beberapa wilayah yang diperuntukkan kepada penduduk Arab berdasarkan Pelan pemisahan 1947. Siri-siri rundiungan di antara Israel dengan Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria melakarkan semula sempadan di antara Israel dan jiran-jiran negara Arabnya pada tahun 1949. Siri-siri rundingan ini dinamakan The Rhodes armistice (Perjanjian Damai Rhodes).
Sempadan di antara Israel dan Jordan yang mengambil alih pentadbiran Tebing Barat di namakan garisan hijau (The Green line).
Apabila Israel melancarkan serangan mengejut ke atas negara-negara Arab di Sinai, Baitul Maqdis Timur, Tebing Barat, Tanah Tinggi Golan dan Selatan Lubnan di antara 5 hingga 10 Jun 1967 (Perang 6 hari), seluruh wilayah Palestin (Mandated Palestine semasa pentadbiran British 1917 – 1948) di kuasai sepenuhnya oleh Israel. Wilayah yang dirujuk tersebut ialah Genting Gaza dan Tebing Barat (termasuk Baitul Maqdis timur) yang masing-masing diambil alih oleh Mesir dan Jordan pada tahun 1948. Serangan yang dirujuk sebagai Perang 6 hari ini telah mengakibatkan kekalahan besar kepada negara-negara Arab terutamanya Mesir, Syria dan Jordan. Dalam serangan tersebut Masjid al-Aqsa yang terletak di Baitul Maqdis timur ditawan dan penguasaan ini berlanjutan sehingga hari ini (sudah menjangkau 44 tahun pada tahun 2011). PBB telah bersidang pada bulan November 1967 dan mengusulkan resolusi 242 iaitu Israel wajib berundur semula ke sempadan yang ditetapkan oleh perjanjian Rhodes (yang dirujuk sebagai Green Line bagi sempadan di antara Israel dan Jordan di Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat). Namun atas desakan Israel ketetapan 242 menegaskan Israel perlu berundur dari wilayah yang diduduki (Occupied territories) dan bukannya wilayah yang diduduki dalam serangan tahun 1967 (The Occupied Territories). Article ‘The’ menjadi titik tolak kepada pertikaian di antara negara-negara Arab dan Israel di mana Israel tidak menyatakan secara khusus manakah wilayah yang diduduki apabila article ‘The’ digugurkan. Ini bermakna resolusi 242 memberi kebebasan kepada Israel untuk menafsirkan manakah wilayah yang dikatakan diduduki ini. Ini juga bermakna Israel bolih mencabar tuntutan mana-mana pihak untuk berundur dari wilayah yang didudukinya pada tahun 1967.
Apabila penyelesaian 2 negara dibangkitkan berdasarkan resolusi 242, maka ia menjadi suatu yang kabur dan tidak dapat dilaksanakan kerana Israel mempunyai wewenangan untuk menentukan manakah yang akan diwartakan sebagai negara Palestin dan di manakah sempadan negara Israel sekiranya negara Palestin yang berdaulat wujud bersempadanan dengan Israel. Atas perkiraan inilah maka penyelesaian dua negara tidak mungkin memberi jalan keluar kepada penyelesaian konflik Palestin-Israel. Israel akan menggunakan semua alasan-alasan teknikal untuk mempertahankan pendirian tidak akan berundur semula ke sempadan 1967 (The Green Line berdasarkan perjanjian Rhodes).
HAMAS menuntut tiga perkara sebagai syarat untuk melaksanakan gencatan senjata dengan Israel iaitu berundur dari semua wilayah yang diduduki pada tahun 1967 (“The” Occupied Territories), pengishtiharan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin yang berdaulat dan hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara mereka (ini juga adalah berdasarkan ketetapan PBB – Resolusi 194(III)). Ini bermakna HAMAS pada dasarnya menuntut Israel keluar dari semua wilayah yang ditaklukinya dalam perang 6 hari tanpa perlu merujuk kepada Resolusi 242. Meskipun Resolusi 242 memperuntukkan tuntutan yang serupa namun tuntutan tersebut adalah kabur dan memberi ruang yang luas kepada Israel membuat tafsiran berdasarkan kepentingannya. Ini jugalah yang menjadi asas kepada tindakan Israel dan Amerika Syarikat untuk merujuk kepada wilayah yang diduduki sebagai wilayah yang dipertikaikan (oleh kedua pihak Palestin dan Israel – ‘The disputed territories’) meskipun PBB merujuk kepada wilayah tersebut sebagai wilayah yang diduduki (Israel) ‘The Occupied Territories. Sekiranya Israel bersedia untuk memenuhi tuntutan HAMAS maka ia perlu mengosongkan semua penempatan haram pendatang yahudi di seluruh tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur (termasuk di sekitar dan kejiranan Masjid al-Aqsa) dan berundur semula ke sempadan yang telah ditetapkan dalam perjanjian Rhodes pada tahun 1949 (Inilah yang dirujuk sebagai sempadan 1967 atau lebih tepat lagi pra-1967). Dengan ini gencatan senjata jangka panjang atau ‘hudna’ bolih dilaksanakan di antara negara Palestin yang berdaulat dan negara haram Israel. Oleh kerana status ‘Negara haram’ Israel kekal meskipun gencatan senjata disepakati maka tidak ada keperluan bahkan tidak ada pihak yang bolih memaksa Palestin untuk mengiktiraf Israel. Israel pada dasarnya didirikan di atas negeri palestin yang mereka rampas pada tahun 1948. Ini juga bermakna perjuangan pembebasan bumi Palestin secara keseluruhan akan berterusan sehinggalah setiap inci negara Palestin (termasuklah 78% dari wilayah Palestin yang diiktiraf sebagai wilayah Israel oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949) dibebaskan.
Maka dengan berundurnya Israel ke sempadan pra-1967 lengkaplah fasa pertama dari dua fasa perjuangan pembebasan Palestin. Jika Fasa pertama dapat dilaksanakan dengan jayanya maka Fasa kedua akan menyusul.
Prof Madya Dr hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif Bhd
Wednesday, June 15, 2011
__________________________________________
ULASAN : "Two-state solution" tidak akan menjadi kenyataan.
Masyarakat antarabangsa meletakkan harapan kepada penyelesaian dua negara berdasarkan kepada resolusi 242 (1967) iaitu negara Israel dan Palestin (Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur) wujud bersama. Hakikatnya penyelesaian dua negara mustahil dilaksanakan kerana fakta berikut:
1. Resolusi 242 menghendaki israel berundur dari wilayah yang diduddukinya pada tahun 1967 (Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur) sedangkan Israel mempunyai wewenangan untuk menentukan mana wilayah yang diduduki mana yang tidak. pengunduran ini bukan berdasarkan kepada green line yang diputuskan dalam perjanjian Rhodes 1949 dan modifikasi dari resolusi 181 (1947).
2. Israel tidak pernah menganggap Baituil Maqdis timur sebagai wilayah yang ditakluki bahkan Jeruusalem (baitul Maqdis) sudah diistiharkan sebagai ibu negara abadi israel.
3. Israel menganggap Tebing Barat (Judea dan Samaria - negeri-negeri Bani israel zaman para anbiya) adalah bahagian yang integral dari negara Israel.
4. Kini terdapat lebih dari 200 penempatan haram yahudi di tebing barat yang menempatkan labih dari 300,000 penduduk israel. Ini termasuk juga Baitul Maqdis di sekitar Masjid al- aqsa.
Jadi penyelesaian yang ditawarkan oleh HAMAS adalah bersifat sementara. 'Two state solution' berdasarkan kepada sempadan greenline 1967 adalah hanya untuk tujuan ceasefire (hudna). Gencatan senjata yang dipersetujui antara dua belah pihak adalah berdasar kpd sempadan green line tersebut. Soal pengiktirafan tidak timbul sama sekali. Pada dasarnya Israel tetap merupakan darul harb (negeri yang diistiharkan perang oleh Islam). namun ini tidak menolak berlakunya perjanjian untuk mengelakan serangan spt mana halnya perjanjian Hudaibiyah pada zaman Rasulullah SAW.
30 JAN 2011
_____________________________________________________
_____________________________________________________
Menjelaskan pendirian mengenai 'Two State solution' dan pengiktirafan negara haram Israel
Kenyataan Akhbar Konferens Annapolis
(PACE – Pusat Kecemerlangan Palestin)
Konferens Annapolis yang ditaja oleh Amerika Syarikat di Maryland telah bermula pada 27 November 2007, dengan matlamat untuk mencapai perdamaian di antara Israel dan rakyat Palestin. Selain dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU), konferens yang dihadiri oleh 50 negara ini turut disertai oleh negara-negara Arab dan Islam termasuk Malaysia. Malaysia diwakili oleh Menteri Luarnya, Dato’ Seri Syed Hamid Albar.
Keabsahan konferens di Annapolis ini paling tidak ia dipersoalkan kerana apa yang dikatakan sebagai perwakilan Palestin jauh sekali dari melambangkan suara dan aspirasi rakyat Palestin. Pertama, sebahagian besar rakyat Palestin, di wilayah yang diduduki di samping mereka yang berada di khemah-khemah pelarian dan di luar Palestin telah menolak ide persidangan damai apabila objektif keseluruhannya bukan untuk menjamin hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka dan hak mereka untuk sebuah negara yang berdaulat. Keduanya, perwakilan Palestin yang hadir di konferens tersebut tidak mempunyai mandat daripada rakyat kerana wakil de facto iaitu Hamas tidak hadir. Hamas telah memenangi pilihanraya legislatif pada januari 2006 dengan memperolehi 74 dari 132 kerusi yang dipertandingkan. Fatah, yang hadir sebagai wakil Palestin hanya memenangi 45 kerusi. Ia adalah satu penghinaan kepada proses demokrasi apabila sebuah kerajaan yang dipilih secara sah dipinggirkan di dalam konferens yang akan menentukan masa depan Palestin.
Kehadiran negara-negara Arab dan Islam di satu pihak pula hanya akan merumitkan lagi kemelut yang dihadapi oleh rakyat Palestin kerana ia secara tidak langsung mengesahkan pendudukan Isreal dan pelanggaran berterusan Israel ke atas hak rakyat Palestin. Pihak Israel telah menegaskan bahawa mereka hanya akan bersetuju dengan syarat-syarat umum ke arah perdamaian dan tidak akan memberi komitmen kepada apa-apa tuntutan khusus dari Palestin. Dalam kata lain konferens ini tidak lebih dari usaha untuk memulihkan Perjanjian Oslo1993 dan Perjanjian Damai 2003 yang menemui kegagalan. Mengambilkira usaha ke arah perdamaian yang sia-sia ini, PACE merangka pendirian berikut:
1. PACE menolak Konferens Annapolis kerana objektifnya bukan untuk menegaskan hak rakyat pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka dan hak untuk kedaulatan negara Palestin. Sebaliknya konferens ini bertujuan untuk menguatkan cengkaman Israel ke atas wilayah yang diduduki iaitu Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur di samping mengenakan kepungan menyeluruh ke atas Gaza.
2. PACE menyesali kehadiran wakil-wakil dari negara Arab dan Islam kerana kehadiran mereka akan memberi keabsahan kepada konferens dan seterusnya penghakisan berterusan ke atas hak rakyat Palestin. Kehadiran mereka juga adalah satu lambang kelemahan menganalisis dan memahami kelicikan politik agenda Zionis.
3. PACE kecewa dengan sikap tidak prihatin Negara Arab dan Islam terhadap rakyat Palestin yang ditekan melalui sekatan ekonomi menyeluruh sejak hampir dua tahun kini. Mereka sepatutnya melakukan desakan antarabangsa bagi menghentikan sekatan ekonomi yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan bukannya menyokong sebuah konferens yang hanya akan merumitkan lagi situasi.
4. PACE menyeru rakyat Malaysia untuk mengikuti hasil konferens tersebut kerana ia berkemungkinan membuka laluan kepada hubungan diplomatik dengan Israel, di mana tiada peruntukan tersebut bagi Malaysia, tetapi yang telah meletakkan banyak negara Arab dalam situasi yang rumit di masa lalu, yang akhirnya membawa kepada pengiktirafan Israel.
5. PACE menyeru umat Islam dari seluruh dunia untuk mengukuhkan perpaduan dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin di dalam perjuangan mereka yang sah untuk membebaskan tanah air dan masjid al Aqsa yang mulia.
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE ( Pusat Kecemerlangan Palestin)
Kuala Lumpur , Selasa 27 November 2007/17 Dzulqaedah 1428H
____________________________________
ULASAN : CONTOH BEBERAPA INISIATIF MENGGUNAKAN PLATFORM ANTARABANGSA TETAPI BERTUJUAN JAHAT DAN BERAT SEBELAH (MEMIHAK KEPADA ISRAEL)
____________________________________
ULASAN : CONTOH BEBERAPA INISIATIF MENGGUNAKAN PLATFORM ANTARABANGSA TETAPI BERTUJUAN JAHAT DAN BERAT SEBELAH (MEMIHAK KEPADA ISRAEL)
Di dalam usaha penyelesaian terhadap konflik di Palestin yang dicetuskan oleh Israel dengan dokongan kuasa-kuasa besar sebelum 1948 lagi, perlu merujuk kepada beberapa persetujuan dan asas yang konkrit sebagaimana yang dijelaskan di atas.
Beberapa masalah asas yang menjadi batu penghalang kepada usaha ikhlas penyelesaian Israel-Palestin ialah apabila ada kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang bertindak untuk menjadi 'orang tengah' tetapi tidak membebaskan diri dari berpihak kepada Israel !.
Isu menjadi lebih celaru dan kusut apabila Amerika Syarikt menggunakan kuasanya memanggil persakilan yang bukan ahlinya di dalam rundingan dan mengenepikan wakil kerajaan Hamas yang sah yang sepatutnya mewakili Palestin selepas kemenangan Hamas 2006.
Dokuman berikut membuktikan konspirasi kuasa besar Amerika Syarikat di dalam mengabui mata dunia dengan bertindak menjadi hero keamanan, sedangkan apa yang dilakukan adalah semata-mata tipu muslihat yang jelas memihak kepada kepentingan Israel (Klik Di Sini).
No comments:
Post a Comment