Mahasiswa perlu sedar isu Palestin
REJIM Zionis mengganas lagi dengan menjadikan Bandar Gaza bermandi darah dengan kematian lebih dari 25 penduduk Palestin yang mati syahid dalam satu serangan roket dan bom baru-baru ini.
Namun di peringkat Malaysia, negara bukan jiran yang jauh dari sempadan Palestin, usaha-usaha bagi meningkatkan kesedaran dan membantu rakyat Palestin tidak pernah henti-henti dilakukan.
Ia tidak sekadar kempen propaganda yang biasa hanya semata untuk memahami isu pergolakan Timur Tengah.
Namun setiap lapisan masyarakat di negara ini perlu menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan sekurang-kurangnya mengajar kita supaya menghargai nikmat kemerdekaan dengan mengekalkan kemerdekaan negara malah membantu negara lain yang menghadapi musibah seperti Palestin.
Terutama di peringkat mahasiswa di universiti-universiti, mereka merupakan golongan utama yang mesti mempunyai kesedaran mengenai isu Palestin.
Ini bagi memastikan isu tersebut terus diperjuangkan kerana mereka turut mempunyai suara-suara perjuangan yang kental dan lantang untuk didengarkan oleh masyarakat dunia.
Ini sebagaimana satu permulaan yang sangat baik apabila Kelab Rakan Dinamik UiTM Shah Alam, Selangor berjaya menganjurkan program kesedaran Palestin dengan mengumpulkan lebih dari 3,000 mahasiswa dan mahasiswi UiTM di Dewan Tuanku Canselor UiTM Shah Alam baru-baru ini.
Majlis dimulai dengan ucapan dan tayangan filem Palestin diikuti dengan tayangan video projek-projek bantuan kemanusiaan pertubuhan NGO Palestin Malaysia yang terkenal, Aqsa Syarif di Gaza hasil dari sumbangan rakyat Malaysia dengan ulasan selari disampaikan oleh Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar (Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif).
Ini diikuti acara kemuncaknya, berkongi pengalaman dari rakyat Gaza Palestin sendiri, iaitu tetamu undangan yang merupakan Presiden Islamic Society Of Jabalia, Gaza, Ir Abdel Rahim Shehab.
Ramai warga kampus UiTM terdiri pelajar dan pensyarah serta kakitangan yang hadir pada malam itu sebak dan hampir menitiskan air mata apabila mereka didedahkan dengan realiti kezaliman tentera rejim zionis Israel yang tidak ber peri kemanusiaan membunuh, menyakiti, merampas harta milik rakyat Palestin dan memusnahkan bumi anbia, bumi ketiga paling suci umat Islam, Palestin yang terdapatnya padanya Masjid Al Aqsa yang menyaksikan baginda Rasulullah SAW menaiki ke langit dalam perjalanan malam paling agung, iaitu Israq dan Mikraj.
Menurut Ir Abdel Rahim, para siswa digesa supaya memahami akan realiti dan tanggungjawab mereka untuk membantu mempertahankan bumi palestin dan Masjidil Aqsa yang merupakan wakaf umat Islam seluruh dunia. Ini kerana perjuangan di Palestin bukan semata-mata isu keagamaan, malah juga isu kemanusiaan yang perlu diturut sertai oleh segenap lapisan masyarakat dunia tanpa mengira bangsa dan agama.
Rejim Israel sesungguhnya sudah keterlaluan. Menafikan hak semua golongan peringkat umur di Palestin, anak-anak kecil, remaja, pemuda wanita, orang tua semua mereka hebat teraniaya dan berada di dalam tekanan yang tidak pernah terfikirkan oleh manusia.
"Saya amat mengharapkan agar anda, para mahasiswa terus membantu dan menyokong usaha-usaha Aqsa Syarif dan lain-lain NGO untuk Palestin yang telah berjaya memulakan inisiatif membawa pelbagai projek kemanusiaan, pendidikan, bantuan perubatan dan peojek-projek sosio ekonomi seperti kilang roti, mikro kredit, ternakan lembu, ternakan ikan dan sebagainya terutamanya di Gaza, yang menjadi terkepung dan penjara serta terputus hubungan dengan dunia luar akibat kekejaman rejim Israel," kata Ir Abdel Rahim.
Pada malam itu lebih dari RM10,000 sumbangan dapat dikumpulkan yang akan terus disalurkan kepada tabung kemanusiaan Palestin. Ia disifatkan sebagai satu sumbangan yang cukup bermakna kerana ia merupakan sebahagian pengorbanan wang ringgit dari mereka yang masih menuntut di pengajian tinggi.
(Utusan Malaysia 15 Mac 2012)
(Utusan Malaysia 15 Mac 2012)
No comments:
Post a Comment