Monday 2 April 2012

Gema jiwa anak muda dalam MyGMJ














mygmj 2012
Malam tadi berlangsung satu acara yang penting bagi pencinta kebebasan dan keadilan, khususnya mereka yang menyokong perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis Israel.
Acara yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam itu dinamakan MyGMJ atau nama penuhnyaMalaysia Global March to Jerusalem. Ia sebenarnya bermula sejak jam lima petang lagi. Ia adalah sambutan GMJ yang diadakan serentak di seluruh dunia, dengan acara kemuncaknya berlaku di Jordan apabila rombongan manusia yang berkumpul di sana dari seluruh dunia memulakan konvoi kemanusiaan ke tanah Palestin.
Penganjuran GMJ ini adalah bersempena dengan Land Day atau 'Hari Tanah' Palestin yang bermula pada 30 Mac, 1977 apabila tentera Zionis menyerang orang awam Palestin yang berdemonstrasi untuk membantah rampasan tanah oleh Israel, menyebabkan enam orang terbunuh dan ratusan lagi cedera. Umat Palestin mengisytiharkan hari tersebut sebagai 'Hari Tanah' untuk mengingati kehilangan tanah mereka kepada peluasan negara haram Israel.
Acara semalam dipenuhi dengan sajian-sajian panas membara yang melaungkan semangat mahu melihat tanah Palestin dikembalikan kepada pemiliknya. Ia bukan hanya isu umat Islam Palestin kerana sejarah mencatatkan bahawa ketika Israel mengusir hampir 800,000 penduduk Palestin pada 1948, 100 ribu daripada mereka adalah orang-orang Kristian.
Perhimpunan di Jordan juga melibatkan rombongan dari seluruh dunia termasuk penganut Yahudi sendiri yang bencikan tindakan melampau puak Zionis.
Selain ucapan-ucapan bersemangat menyokong Palestin, lebih 10,000 hadirin yang membanjiri Stadium Malawati turut disajikan dengan bacaan puisi yang unik oleh Pak Agi (Abdul Ghafar Ibrahim). Antara ucapan lain yang memukau khalayak adalah ucapan Pengerusi MyGMJ Dr Mohd Tahir Abd Rahman, Pengerusi Viva Palestina Malaysia yang juga Naib Pengerusi MyGMJ Dato Dr Musa Nordin, tokoh akademik Dr Maszlee Malik, juga ucapan daripada wakil bukan Islam, Saudara Wee dan Santhira Morgan. Selain itu diselitkan juga rakaman ucapan penghargaan daripada Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh dan anggota parlimen British George Galloway.
Turut dipancarkan adalah perbualan secara 'live' dengan wakil 23 warga Malaysia yang sedang berada di Jordan iaitu Norazmi Talib, Muadz Ruslan dan Aiman Md Zin.
Acara persembahan daripada artis Yasin, Muadz, Mirwana dan tarian Dabka daripada lima pemuda Palestin turut disajikan. Ia disudahi dengan persembahan flash mob menarik hasil karya mahasiswa institut pengajian tinggi tempatan.
Sesuatu yang ketara sepanjang acara semalam adalah boleh dikatakan 70 peratus kehadiran terdiri daripada anak-anak muda. Hakikat ini mengisyaratkan perkembangan yang sangat sihat buat masa depan umat.
Benar anak muda sekarang sering ditonjolkan sebagai golongan yang bermasalah, rosak dan sebagainya. Tetapi percayalah, di suatu sudut, bahkan dari banyak sudut, telah dan sedang lahir generasi baru yang tulus suci jiwanya, yang cintakan kebenaran dan kedamaian, yang bencikan kejahatan dan penindasan.
Inilah golongan yang sedang kita acu untuk menjadi pemimpin masa hadapan bagi melahirkan negara umat yang sentiasa mendapat kasih sayang Allah dan diberkati-Nya.
Syabas anak muda!
http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/editorial/1-editorial/1579-gema-jiwa-anak-muda-dalam-mygmj

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...