Monday, 17 October 2011

Wanita Gaza...Engkau idolaku





 Wajahnya ceria seceria anak yang didakapannya. Usia wanita ini hanya setahun melebihi usiaku. Namun dalam keceriannya, satu kisah yang tidak dapat digambarkan oleh sekeping gambar ini adalah wanita ini aku kenali seorang yang sangat kuat. Senyumannya mengingatkanku pada kisah sahabiah yang berjuang kerana Agama tanpa keluh dan kesah. Wanita ini antara wanita yang pandai menjahit dan pandai menjaga anak-anak juga keluarganya. Adakah dia tidak punya suami? Ada, namun suaminya telah tidak berdaya untuk mencari nafkah buat keluarga mereka akibat sakit tulang belakang yang menimpanya. Kasih seorang isteri pada suami, kasih seorang ibu kepada anak memberi kekuatan kepada wanita ini untuk menjahit dan menjual hasil jahitannya kepada yang sudi membayar seadanya untuk menampung keluarganya. Beliau menerima sumbangan rakyat Malaysia dalam bentuk pinjaman Qadr Al Hassan dengan membeli mesin jahit baru bagi melancarkan lagi usahanya mencari rezeki membantu keluarganya....idolaku padamu atas kekuatan dan kecekalanmu!





Wanita ini pertama ku temui di rumahnya. Wajah seorang ibu yang amat pemurah dengan senyuman dan lirikan matanya yang sentiasa melihatku tajam dengan penuh kasih sayang. Aku melihatnya sambil fikiranku terbayangkan wajah ibu yang melahirkanku. Aku rindu pada ibuku, namun terubat dengan wajah dihadapanku ketika berhadapan dengan wanita ini. Bagaimana mungkin engkau membesarkan 9 orang anakmu di rumah yang gelap tanpa elektrik, bilik terhad yang hanya dipisahkan dinding retak, dapur kecil yang muat untukmu seorang memasak dan lantai berpasir yang mengeraskan kakimu wahai ibu tua? Wanita ini antara keluarga yang menerima sumbangan rakyat Malaysia dalam bentuk sumbangan bulanan selama setahun penajaan keluarga miskin Palestin. SubhanALLAH! Maha Kaya ALLAH, wanita ini menjadi idola bagiku, ibuku dan seluruh wanita di Malaysia!


Matanya sayup melihat mulutku berkata-kata setiap kali menginginkan jawapan daripadanya kepada soalan-soalan yang berkait dengannya. Mata itu sentiasa aku ingat tatkala dia mendoakanku sejurus mengetahui kisah hidupku di Malaysia, mata itu menjadi saksi airmata ini berlinang tatkala dia menceritakan kepadaku ujian hidupnya sebagai seorang isteri mujahid. Wanita ini juga salah satu idolaku. Masih teringat ketika beliau menceritakan kepadaku telah hampir 40 tahun beliau mendirikan rumah tangga, namun tidak dikurniakan cahaya mata. Namun senyumannya ketika bercerita kisah tersebut, dikuatkan lagi apabila dia menceritakan hidupnya tidak pernah sunyi tanpa kehadiran anak kandungnya, malah Allah memberinya anak yang sangat ramai hasil usahanya dan suami membuka pusat jagaan anak-anak. Katanya, “aku menjaga anak-anak wanita Palestin yang menghantar kepadaku seperti anak-anak kandungku sendiri”. Allah Maha Kaya yang menjadikan wanita ini isteri seorang imam yang amat dikenali di bumi Gaza, seorang wanita yang cukup sabar dalam menjaga anak-anak Palestin yang sedang membesar, seorang wanita yang menjaga wajahnya daripada lelaki lain selain suaminya dan wanita yang tinggi perjuangan dalam hidupnya untuk kekal di bumi Gaza. Aku tenang bersamamu sepanjang berada di kota Gaza.




Wanita ini sangat tabah!, lahir sebagai seorang ibu shuhada’. Bukan seorang anak yang meninggalkanmu tatkala engkau mendekati usia tuamu, namun dua orang anakmu kembali hidup di sisi Pencipta, Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Ummu Muhammad yang menangisi pemergian anak-anaknya kembali tenang tatkala dihadiahkan Allah sebuah mimpi yang indah...”Ummi, jangan menangis lagi. Kami kini di syurga, ummi”. Bangkitnya kembali membina kekuatan dan meneruskan perjuangan bagi anak-anaknya yang lain, yang masih hidup untuk meneruskan lagi perjuangan abang-abangnya yang shaheed di medan pertempuran. Wanita ini cukup kuat dan tabah sehingga tiada airmata yang mengalir keluar ketika menceritakan bagaimana anaknya telah shaheed dan dengan bangganya menunjukkan wajah-wajah anaknya yang segak berpakaian seragam pejuang. Baliau juga idolaku dalam membina kekuatanku untuk meneruskan perjuangan Pembebasan Palestin!


Cemburuku pada gadis ini, antara hafizah muda yang berumur 16 tahun. Malunya wajah ini hingga kemerahan pipinya, ketika aku memintamu membacakan salah satu ayat hafalanmu. Namun, engkau tidak mengecewakan aku dan teman-teman yang menanti lafaz bacaan ayat-ayat Allah yang akan keluar dari bibirmu. Ayat-ayat cinta Allah yang telah sebati di jiwamu dan teman-teman seperjuanganmu. Senyumanmu yang manis tatkala selesai melafazkan ayat Allah daripada surah Al-Isra’ ayat 1, memberi kegembiraan di wajah kami. Gembira kerana ayat yang dilafazkan daripada seorang hafizah yang kelahiran asalnya di bumi Palestin, bumi yang Allah janjikan keberkahannya. Moga Allah memeliharamu dan teman-teman seperjuangan di bumi Palestin daripada kekejaman Rejim Israel yang sentiasa mencari mangsa yang tidak berdosa. Engkau idola mudaku, dan akan terus menjadi idolaku hingga kita bertemu lagi. Samada di dunia sementara atau syurgaNYA harapku!




Ke mana hilangnya suara merdumu wahai temanku, ke mana hilangnya pendengaranmu duhai sayang?...ungkapan itu akan hanya didengar oleh hati-hati yang lembut mencari punca kehilangan itu. Mulanya aku sendiri tidak percaya apa yang dimaklumkan kepadaku tentangmu dan teman-teman di hadapanku. Namun, setelah dakapan pelukan ukhwah terlerai seketika, aku dimaklumkan temanku ini adalah antara mangsa pencemaran letupan bom yang kuat daripada Rejim Israel ketika mereka masih kecil lagi. Senyuman yang menemukan aku dengan mu tanpa bahasa itu, memberi satu gambaran yang indah terhadapmu. Kecekalanmu dalam mendapatkan ilmu dan usahamu untuk melafazkan ayat-ayat Allah membuat kami yang normal pendengaran dan boleh bercakap ini mengalirkan airmata kesyukuran kepadaNYA. Tatkala mendengarkan sedikit-sedikit suara yang dipaksa keluar olehmu ketika membacakan ayat-ayat Al-Quran, menyedarkan kami erti nikmat yang diberi Allah itu. Bukan pintamu untuk tidak mampu berkata-kata, bukan minta kalian untuk tidak boleh mendengar...namun rejim Israel yang kejam yang menyebabkan ia berlaku!. Kesungguhan kalian memberi tamparan padaku dan teman-temanku untuk sentiasa bersyukur kepada Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Wahai idolaku yang bisu dan pekak! Tiada apa yang mampu memadamkan suara bacaan kalian dari sering berkumandang dalam kotak fikiranku ketika ini. Adakah kalian bidadari yang dijanjikan Allah itu?



Aku cemburu melihat kalian! Dan cemburuku bertempat! Kenapa? Persoalan yang seringku tanya kepada teman-temanku di Malaysia. Cemburu pada wajah-wajah yang cantik jelita? Atau cemburu pada kecerdikan seorang gadis? Atau cemburunya kepada keakraban ukhwah sesama mereka? atau juga cemburu kerana melihat engkau masih mampu berbicara tentang keamanan dunia? Banyak persoalan yang bermain di fikiran sebelum bertemu muka dengan mereka. Saat berpelukan dengan kalian, wajah-wajah kalian aku tatap satu persatu, tanpa bahasa yang boleh difahami oleh pakar-pakar bahasa di dunia sekalipun!. Bahasa apakah ia? Itulah di gelar Ukhwah Islamiah! Dengan hanya senyuman yang diberikan oleh kalian, tenang jiwa ini. Persoalan yang memerlukan banyak jawapan terjawab dengan satu kalimah sahaja. Hanya satu jawapan sahaja? Cemburuku padamu hanya kerana engkau lahir di bumi yang berkah! Bumi yang dijanjikan Allah kemenangan! Bumi yang tidak mungkin kalian tinggalkan! Kalian seperti adik beradikku di sana, saudara yang telah lama terpisah. Kembaliku ke sana nanti, bukan membawa persoalan, tapi jawapan. Palestin telah Bebas! Palestin telah Bebas! Allahu Akhbar!



Luahan hati seorang teman....Noorhasyimah Ismail, 29 Ramadhan 1432H@12.30 am

Thursday, 13 October 2011

Sekolah Men Pt Betak Membentuk Sukarelawan Sayangkan Palestin



Pelajar-pelajar ting 3 yang beru tamat peperiksaan PMR telah mendapat pengisian dan pendedahan mengenai isu Palestin dan misi bantuan A2G & A2G2 yang disampaikan oleh Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar. Berlangsung di Sek Men Keb Pt Betak Benut Pontian pada 12 Okt 2011. 

Ceramah yang bertajuk "Palestin Yang Kami Sayangi" melontarkan beberapa persoalan ... mengapa kita perlu sayang Palestin? Apa signifikannya Bumi Palestin ? dan beberapa soalan lain. Program ini menjurus kepada pelan tindakan dengan tujuan untuk melatih murid-murid menyertai perjuangan membantu Palestin. 

Bermula dengan menayangkan beberapa Stem Hari Pertama yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia pada 21 Ogos 1978 dan 21 Ogos 1982 sebagai sokongan malaysia terhadap Palestin bersempena peristiwa sedih cubaan zionis membakar masjiddil Aqsa. Perjuangan menyokong perjuangan Palestin bukan perkara baru, malah malaysia sudah sekian lama melibatkan diri. Cumanya ramai dikalangan remaja kini kian lupa ... dan perlu diperingatkan akan peri pentingnya menyambung perjuangan agar Palestin dapat dibebaskan dari jajahan zionis Yahudi.

Ceramah ini mengajak para pelajar lepasan PMR untuk bersama-sama mengisi masa selepas peperiksaan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan melalui kempen Kesedaran Sayangkan Palestin dikalangan masyarakat.

Selepas ceramah tamat, para pelajar terus ditawarkan peluang membawa tabung-tabung Palestin keseluruh bilik-bilik darjah dan seluruh sekolah. Alhamdulillah mereka begitu gembira menyahut tawaran dengan penuh kegirangan dan semangat.

Alhamdulillah, mereka akan menjadi sukarelawan Aqsa Syarif yang akan membantu dalam penganjuran ceramah-ceramah di sekolah-sekolah dan masjid-masjid di sekitar mukim Benut & Rengit sebagai sebahagian dari aktiviti Ko-K mereka Insya Allah. Usaha ini akan diselaraskan ddengan pihak sekolah.


Selain penjelasan mengenai sejarah dan realiti yang berlaku di Palestin serta pengalaman penyertaan wakil Malaysia di dalam konvoi kemanusiaan jalan darat pada tahun 2010 dan misi kemanusiaan Ramadhan pada 2011, para pelajar juga didedahkan mengenai peranan pelajar diperingkat individu agar sensitif terhadap perancangan Yahudi merosakkan remaja-remaja seluruh dunia khususnya remaja Islam dengan pelbagai hiburan. Isu pemboikotan khususnya makanan seperti Mc D, Coca Cola dan Nastle juga menjadi penumpuan di dalam program setengah hari yang disampaikan bekas pelajar sekolah ini.

Kebetulan pula penceramah program ini adalah merupakan bekas pelajar sekolah ini dan dua rakan beliau kini mengajar di sekolah ini iaitu Cikgu Saadon Saim dan Cikgu Md Zin Erjam. 

APABILA DEBU KETERUJAAN MULAI SURUT, REALITY KEHIDUPAN MENJENGUK KEMBALI.


Telah 2 minggu Presiden Mahmud Abbas mengemukakan permohonan kepada PBB agar keahlian Palestin diterima sebagai sebuah Negara (member state). Tebing Barat mula kembali tenang setelah berpesta menyambut kepulangan hero baru dari New York. Rakyat Palestin mulai kembali kepada kehidupan harian. Maka teruslah berulang kembali apa yang sentiasa berlaku selama ini, with or without the state of Palestine.

“…most especially, I extend my hand to the Palestinian people, with whom we seek a just and lasting peace.” kata Benjamin Netanyahu di perhimpunan Agung PBB 23 Sept 2011 lalu. Sejak itu, berikut adalah sebagaian dari tanda-tanda `keikhlasan’ Israel tersebut sehingga hari ini :
Sabtu 24 Sept
Tentera Israel dan pendatang Yahudi menyerang perkampungan Qusra di selatan Bandar Nablus di Tebing Barat menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 37 tahun. 5 rakyat Palestin juga tercedera.

Isnin 26 Sept
Unit Pengawal Sempadan Israel menculik ahli Parlimen Palestin Muhammad Attoun di hadapan pejabat Palang Merah di Baitul Maqdis.




Selasa 27 Sept
Tentera Zionis meculik seorang rakyat Palestin Samir Ali Abu Maria, 30 thn, selepas merampas kenderaannya di pintu masuk Bandar Beit Omar, utara Hebron di Tebing Barat dan membawanya ke destinasi yang tidak diketahui.

Seorang kanak-kanak Palestin Farid Talib Jaber, 8 thn dari Bandar al Khalil (Hebron) di Tebing Barat mati akibat tercedera selepas dilanggar dan digelek (run over) oleh kereta seorang pelampau Yahudi pada Jumaat 23 Sept.

Israel meluluskan pembinaan 1100 buah perumahan haram di Yahudi diatas tanah Palestin di Gilo, selatan Baitul Maqdis.

Sabtu 1 Okt
Pendatang Yahudi dari koloni Yitzhar membakar ladang zaitun Palestin diantara perkampungan Ainbous dan Hawara di selatan Nablus. Manakala di al Khalili, mereka memusnahkan 55 pohon zaitun di Dhaheria.

Jet-jet dan UAV Israel mengebom utara Gaza berhampiran Beit Hanoun. # rakyat Paestin cedera termasuk 1 parah.

Ahad 2 Okt
Sebuah masjid di perkampungan Tuba-Zangariyye di Upper Galilee dibakar pada waktu malam oleh pendatang Yahudi menyebabkan kerosakkan teruk didalam masjid.

Isnin 3 Okt
Seorang kanak-kanak Palestin cedera ditembak tentera Israel di Juher al Deik, semenanjung Gaza semasa sedang mengutip besi buruk bagi menyara hidup.

Selasa 4 Okt
Unit tentera khas Israel menyerang penjara Ashkelon dan Nafha dimana ribuan tahanan Palestin sedang mengadakan protes lapar selama 7 hari.

Kereta kebal dan kenderaan tentera Israel memasuki dan memusnahkan ladang pertanian Palestin di al Qarara, utara Khan Younis.

2 pelajar wanita Palestin , Ahlam Hamad, 19, dan Saja Hamad, 18 dilanggar-lari oleh kereta di pandu pendatang Yahudi di perkampungan Huarra di Nablus.

Rabu 5 Okt
Tentera penjajah Israel menculik 5rakyat Palestin  dari perkampungan Kufor Qaddom di timur Bandar Qalqilia di Tebing Barat. Saksi mengatakan tentera Israel memasuki kampung dan memecah masuk ke beberapa rumah serta menculik Abbas Eshtiwi,18, Adham Eshtiwi,22, Ahmad ‘Amer,20 , Fahed Eshtiwi,22, and Yamen ‘Ibead,30.

Khamis 6 Okt
Ratusan pendatang haram Yahudi memecah masuk ke makam Nabi Yusuf a.s. di Nablus dibawah kawalan tentera Israel untuk melakukan upacara agama mereka.

Penjajah Israel terus mencengkam kehidupan; pembunuhan dan tangkapan tanpa sebab yang jelas, sekatan ekonomi dan kewangan, keganasan dan keangkuhan pendatang haram Yahudi ……. the same old stories.

Ar. Hj Syed Mohd Radhi
Aqsa Syarif Gombak.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...