Saturday 16 July 2011

The Welfare Association for Palestinian and Lebanese Families (WAFRAH) Di Malaysia


Kajang, 12 Julai 2011 - Aqsa Syarif Berhad telah menerima tetamu dari Lubnan, yang mewakili The Welfare Association for Palestinian and Lebanese Families (WAFRAH). WAFRAH ialah badan bukan kerajaan berpusat di Beirut, Lubnan. Mereka juga mengurus projek tajaan Keluarga Miskin Palestin, yang diusahakan oleh Aqsa Syarif Berhad.
WAFRAH diwakili Encik Wissam Taha, Timbalan Pengurus Besar merangkap Pengurus Pembangunan Sumber dan diiringi oleh Encik Malek Barghout, dari Unit Perhubungan Awam. Antara tujuan utama kunjungan mereka ke Malaysia ialah bagi menggandakan lagi sambutan rakyat Malaysia untuk menaja Keluarga Miskin Palestin.
Pada petang semalam, Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Dr Hafidzi Mohd Noor, serta 2 ahli Lembaga Pemegang Amanah iaitu Dr. Fauziah Mohd Hassan dan Dr. Mohd Tahir Abdul Rahman telah mengadakan pertemuan khas bersama wakil-wakil WAFRAH. Turut hadir ialah Pengurus Besar, En. Muhamad Munawer Ismail dan Pengurus Projek Khas, Puan Sharifah Mahiza Syed Abd Kadir.
Semasa pertemuan, pihak Aqsa Syarif diberikan penerangan mengenai situasi terkini di Palestin termasuk situasi keluarga-keluarga miskin Palestin yang dibantu selama ini. Menurut Encik Wissam juga, keluarga miskin Palestin yang ditaja sebenarnya ada pelbagai kategori, antaranya: keluarga para syuhada’, keluarga yang bapanya dipenjara oleh Zionis Israel, keluarga yang bapanya kurang upaya dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat bedilan askar Zionis Israel.
Pada sebelah malam, pihak Aqsa Syarif Berhad telah mempelawa wakil-wakil WAFRAH ke restoran masakan cina Muslim di Bangi untuk menikmati hidangan masakan cina Muslim. Aqsa Syarif Berhad mengucapkan selamat datang dan mendoakan agar pihak WAFRAH berjaya dalam misi mereka di Malaysia ini.

WAFRAH bertemu para wartawan Karangkraf


Shah Alam, 18 Julai 2011 - Aqsa Syarif Berhad telah berkunjung ke pejabat Kumpulan Karangkraf di Shah Alam bersama dengan wakil-wakil The Welfare Association for Palestinian and Lebanese Families (WAFRAH), pada pagi Isnin, 18 Julai 2011 yang lalu.

Aqsa Syarif Berhad diwakili En. Muhamad Munawer, Pengurus Besar dan Kamaruzzaman Abd Rahim, pegawai perhubungan , manakala WAFRAH diwakili En. Wissam Taha, Pengurus Pembangunan Sumber dan En. Malek Barghout, Unit Perhubungan Awam. Kunjungan ini disambut oleh beberapa editor majalah keluaran Karangkraf, antaranya En. Saharom Abd Aziz, editor tabloid mingguan ILuvIslam, Puan Rafidah Talib, editor majalah NUR dan editor-editor lain.




Semasa pertemuan dengan para editor, pelbagai soalan diutarakan kepada pihak Aqsa Syarif Berhad dan WAFRAH merangkumi aspek-aspek kemasyarakatan, kewangan, sambutan dan lain-lain. Selepas pertemuan, pihak Karangkraf menyediakan jamuan makan tengahari di kafeteria.

Aqsa Syarif Berhad merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Karangkraf atas kesudian menerima kunjungan yang julung-julung kali ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...