
Wajahnya ceria seceria anak yang didakapannya. Usia wanita ini hanya setahun melebihi usiaku. Namun dalam keceriannya, satu kisah yang tidak dapat digambarkan oleh sekeping gambar ini adalah wanita ini aku kenali seorang yang sangat kuat. Senyumannya mengingatkanku pada kisah sahabiah yang berjuang kerana Agama tanpa keluh dan kesah. Wanita ini antara wanita yang pandai menjahit dan pandai menjaga anak-anak juga keluarganya. Adakah dia tidak punya suami? Ada, namun suaminya telah tidak berdaya untuk mencari nafkah buat keluarga mereka akibat sakit tulang belakang yang menimpanya. Kasih seorang isteri pada suami, kasih seorang ibu kepada anak memberi kekuatan kepada wanita ini untuk menjahit dan menjual hasil jahitannya kepada yang sudi membayar seadanya untuk menampung keluarganya. Beliau menerima sumbangan rakyat Malaysia dalam bentuk pinjaman Qadr Al Hassan dengan membeli mesin jahit baru bagi melancarkan lagi usahanya mencari rezeki membantu keluarganya....idolaku padamu atas kekuatan dan kecekalanmu!

Wanita ini pertama ku temui di rumahnya. Wajah seorang ibu yang amat pemurah dengan senyuman dan lirikan matanya yang sentiasa melihatku tajam dengan penuh kasih sayang. Aku melihatnya sambil fikiranku terbayangkan wajah ibu yang melahirkanku. Aku rindu pada ibuku, namun terubat dengan wajah dihadapanku ketika berhadapan dengan wanita ini. Bagaimana mungkin engkau membesarkan 9 orang anakmu di rumah yang gelap tanpa elektrik, bilik terhad yang hanya dipisahkan dinding retak, dapur kecil yang muat untukmu seorang memasak dan lantai berpasir yang mengeraskan kakimu wahai ibu tua? Wanita ini antara keluarga yang menerima sumbangan rakyat Malaysia dalam bentuk sumbangan bulanan selama setahun penajaan keluarga miskin Palestin. SubhanALLAH! Maha Kaya ALLAH, wanita ini menjadi idola bagiku, ibuku dan seluruh wanita di Malaysia!


Wanita ini sangat tabah!, lahir sebagai seorang ibu shuhada’. Bukan seorang anak yang meninggalkanmu tatkala engkau mendekati usia tuamu, namun dua orang anakmu kembali hidup di sisi Pencipta, Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Ummu Muhammad yang menangisi pemergian anak-anaknya kembali tenang tatkala dihadiahkan Allah sebuah mimpi yang indah...”Ummi, jangan menangis lagi. Kami kini di syurga, ummi”. Bangkitnya kembali membina kekuatan dan meneruskan perjuangan bagi anak-anaknya yang lain, yang masih hidup untuk meneruskan lagi perjuangan abang-abangnya yang shaheed di medan pertempuran. Wanita ini cukup kuat dan tabah sehingga tiada airmata yang mengalir keluar ketika menceritakan bagaimana anaknya telah shaheed dan dengan bangganya menunjukkan wajah-wajah anaknya yang segak berpakaian seragam pejuang. Baliau juga idolaku dalam membina kekuatanku untuk meneruskan perjuangan Pembebasan Palestin!


Ke mana hilangnya suara merdumu wahai temanku, ke mana hilangnya pendengaranmu duhai sayang?...ungkapan itu akan hanya didengar oleh hati-hati yang lembut mencari punca kehilangan itu. Mulanya aku sendiri tidak percaya apa yang dimaklumkan kepadaku tentangmu dan teman-teman di hadapanku. Namun, setelah dakapan pelukan ukhwah terlerai seketika, aku dimaklumkan temanku ini adalah antara mangsa pencemaran letupan bom yang kuat daripada Rejim Israel ketika mereka masih kecil lagi. Senyuman yang menemukan aku dengan mu tanpa bahasa itu, memberi satu gambaran yang indah terhadapmu. Kecekalanmu dalam mendapatkan ilmu dan usahamu untuk melafazkan ayat-ayat Allah membuat kami yang normal pendengaran dan boleh bercakap ini mengalirkan airmata kesyukuran kepadaNYA. Tatkala mendengarkan sedikit-sedikit suara yang dipaksa keluar olehmu ketika membacakan ayat-ayat Al-Quran, menyedarkan kami erti nikmat yang diberi Allah itu. Bukan pintamu untuk tidak mampu berkata-kata, bukan minta kalian untuk tidak boleh mendengar...namun rejim Israel yang kejam yang menyebabkan ia berlaku!. Kesungguhan kalian memberi tamparan padaku dan teman-temanku untuk sentiasa bersyukur kepada Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Wahai idolaku yang bisu dan pekak! Tiada apa yang mampu memadamkan suara bacaan kalian dari sering berkumandang dalam kotak fikiranku ketika ini. Adakah kalian bidadari yang dijanjikan Allah itu?

Luahan hati seorang teman....Noorhasyimah Ismail, 29 Ramadhan 1432H@12.30 am